Pengundi Hantu

1
Q: Apakah yang dimaksudkan dengan pengundi hantu?

A:
Istilah sebenar “pengundi hantu” bermaksud, pengundi yang datang untuk membuang undi di tempat mengundi dengan menggunakan Kad Pengenalan palsu atas nama pengundi lain yang berdaftar dalam daftar pemilih SPR. Penipuan dan penyamaran seperti ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan boleh dihukum penjara tidak kurang 2 tahun atau didenda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
2
Q: Adakah wujud pengundi hantu dalam daftar pemilih SPR?

A:
Urusan pendaftaran pemilih dan penyemakan daftar pemilih dibuat secara telus selaras dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan dan mengikut undang-undang yang ditetapkan. Sebenarnya, istilah Pengundi Hantu telah sengaja dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu dengan memberikan tafsiran yang tidak tepat untuk tujuan mengelirukan rakyat dan pengundi. Apa yang berlaku ialah pengundi berdaftar yang telahpun berpindah daripada tempat pendaftaran asal dan bermastautin di kawasan baru dan dia pulang mengundi di tempat asal pada hari mengundi. Pemilih berdaftar berkenaan yang balik untuk mengundi di tempat pendaftaran asal merupakan pemilih sah dan layak dari segi undang-undang.
3
Q: Apakah usaha-usaha SPR bagi memastikan Daftar Pemilih SPR bersih daripada pengundi hantu?

A:
SPR telah dan sentiasa menjalankan pelbagai usaha secara berterusan bagi memastikan Daftar Pemilih Induk bersih dan kemas kini, terutamanya daripada senarai mereka yang telah meninggal dunia yang seringkali dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu sebagai Pengundi Hantu. SPR telah menghantar pasukan penyemak ke balai-balai polis di seluruh negara bagi mendapatkan salinan permit mengubur bagi mengesahkan seseorang itu telah meninggal dunia. SPR juga menerusi Program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan di seluruh negara sentiasa mengeluarkan pengumuman supaya waris pemilih yang telah meninggal dunia mengemukakan salinan sijil kematian waris mereka kepada SPR bagi tujuan pembersihan DPI. Bagi negeri Sarawak, SPR telah menghantar pasukan penyemaknya ke rumah-rumah panjang untuk mengenalpasti mana-mana anggota masyarakat rumah panjang yang telah meninggal dunia tetapi tidak dilaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.
4
Q: Adakah pemilih berdaftar yang balik pada hari mengundi untuk mengundi di tempat mengundi di mana dia mendaftar dianggap sebagai Pengundi Hantu?

A:
Pengundi berdaftar yang balik untuk mengundi di tempat mengundi di mana namanya berdaftar dalam Daftar Pemilih SPR adalah bukan pengundi hantu. Seseorang pengundi dijamin haknya di bawah Perlembagaan untuk mengundi jika namanya terdapat dalam Daftar Pemilih di tempat mengundi berkenaan.