BN kekal kerusi Parlimen Pensiangan


BN kekal kerusi Parlimen Pensiangan

KOTA KINABALU 13 Mac – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Pensiangan selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menerima rayuan Timbalan Menteri Pembangunan Luar bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini.

Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini membatalkan kemenangan Kurup bagi kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum Mac lalu.

Keputusan dibacakan hakim, Nik Hashim Nik Abd. Rahman. - Utusan


Pilihan raya kecil tak perlu berikutan keputusan Mahkamah

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup, kekal sebagai Ahli Parlimen Pensiangan selepas Mahkamah Persekutuan menerima rayuannya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum Mac tahun lalu tidak sah dan batal.

Keputusan itu bermakna pilihan raya kecil tidak perlu diadakan bagi kerusi Parlimen Pensiangan.

Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), memenangi kerusi berkenaan pada 24 Februari tahun lalu iaitu hari penamaan calon selepas pengurus pilihan raya (RO) menolak kertas pencalonan Danny Anthony Andipai daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang lagi calon.

Keputusan setebal 14 muka surat itu dibaca Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, kira-kira jam 9.30 pagi.

"Selepas mendengar hujah kedua-dua peguam yang mewakili defendan (Kurup) dan responden (Andipai), kami dapati tiada kegagalan di pihak RO mematuhi peraturan pilihan raya.

"Oleh itu, dalam kes ini kesalahan berada di pihak responden kerana gagal menyerahkan kertas pencalonannya kepada RO bertugas dalam tempoh ditetapkan.

"Kami dengan ini sebulat suara memutuskan defendan sah sebagai sebagai wakil rakyat di Parlimen Pensiangan. Perintah yang diberi hakim sebelum ini juga diketepikan," katanya.

Pada 12 Februari lalu, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Datuk Ariffin Zakaria dan Nik Hashim mendengar penghujahan kedua-dua pihak, iaitu Firoz Hussien Ahmad Jamaluddin mewakili Kurup dan Ansari Abdullah mewakili Andipai selaku pempetisyen.

Kurup mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 17 September tahun lalu bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 8 September lalu, berdasarkan petisyen dikemukakan Andipai yang juga bekas calon PKR bagi kerusi Parlimen Pensiangan.

September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, David Wong Dak Wah, membuat keputusan itu berdasarkan petisyen Andipai pada 9 April lalu yang meminta mahkamah mengiystiharkan keputusan bagi Parlimen Pensiangan tidak sah dan batal mengikut Seksyen 32 (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada penamaan calon 24 Februari tahun lalu, RO, Bubudan OT Majalu, mengisytiharkan Kurup menang tanpa bertanding dengan alasan Andipai lewat mengemukakan borang pencalonan.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Kurup yang ditemani isterinya, Puan Sri Melinda Kurup, lega berikutan keputusan itu yang membolehkannya meneruskan khidmat sebagai Ahli Parlimen Pensiangan. - Berita Harian.