Pengenalan

SURUHANJAYA PILIHAN RAYA MALAYSIA

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia ditubuhkan pada 4 September 1957 dfi bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Fungsi dan kuasa SPR termaktub di bawah Perkara 113 hingga Perkara 120 Perlembagaan Persekutuan. Peranan utama SPR ialah untuk memelihara, mengawasi dan mengekalkan proses demokrasi di negara ini menerusi sistem pilihan raya yang bebas, adil dan saksama. Tanggungjawab SPR ialah memastikan rakyat yang layak diberi peluang mendaftar sebagai pemilih dan mengundi dalam pilihan raya, baik pilihan raya umum atau pilihan raya kecil untuk memilih wakil mereka ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Ketika ditubuhkan, SPR dianggotai oleh seorang Pengerusi dan 2 orang Ahli.
Pengerusi pertama Suruhanjaya ialah Y.Bhg. Dato' Dr. Mustafa Albakri bin Haji Hassan, manakala Ahli-ahlinya terdiri daripada Encik Lee Ewe Boon dan Encik Ditt Singh.

Berikutan dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, bilangan Ahli Suruhanjaya ditambah kepada 3 orang. Ahli tambahan itu sama ada dari Sabah atau Sarawak yang dilantik secara bergilir. Y.Bhg. Datuk Abang Haji Marzuki bin Nor dari Sarawak menjadi ahli pertama mewakili 2 negeri berkenaan. Pada tahun 1981, pindaan ke atas Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dibuat bagi membolehkan pelantikan seorang Timbalan Pengerusi. Tuan Haji Abdul Rahman bin Abu Hassan merupakan orang pertama mengisi jawatan Timbalan Pengerusi.

Pada tahun 2002, pindaan kepada Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan diluluskan bagi menambah keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya menjadi 7 orang iaitu Seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan 5 orang Ahli termasuk seorang ahli dari Sabah dan seorang ahli dari Sarawak. Ahli-ahli SPR dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja serta mengambil kira peri mustahaknya SPR yang ditubuhkan itu mendapat kepercayaan awam.

Semenjak penubuhannya pada tahun 1957 hinngga sekarang, SPR telah mempunyai 7 orang Pengerusi iaitu:

1. Y.Bhg.Dato' Dr. Mustapha Albakri bin Haji Hassan (4/9/1957-15/10/1967)
2. Y.Bhg.Dato' Ahmad bin Perang (16/10/1967-9/8/1977)
3. Y.Bhg.Tan Sri Dato' Abdul Kadir bin Talib (10/8/1977-11/10/1990)
4. Y.Bhg.Dato' Harun bin Din (12/10/1990-20/6/1999)
5. Y.Bhg.Dato' Haji Omar bin Mohd Hashim (21/6/1999-11/11/2006)
6. Y.Bhg.Tan Sri Dato' Seri Haji Ab Rashid Ab Rahman (12/11/2000-30/12/2008)
7. Y.Bhg.Tan Sri Abdul Aziz bin Mohd Yusof (31/12/2008 - sekarang)

Bagi membolehkan ia menjalankan fungsinya, Suruhanjaya Pilihan Raya membentuk sebuah Urus Setia yang diketuai oleh seorang Setiausaha. Setiausaha ini berperanan sebagai ketua pentadbir untuk melaksanakan semua keputusan SPR berhubung dengan pelaksanaan dasar dan fungsinya. Setiausaha pertama yang dilantik ialah Encik H. Cassidy yang berkhidmat dari tahun 1957 hingga 1958.
Urus setia SPR mempunyai ibu pejabat di Putrajaya dan 14 buah Pejabat Pilihan raya Negeri di setiap negeri, setiap satunya diketuai oleh seorang Pengarah Pilihan raya Negeri. Para pegawai dan kakitangan SPR adalah terdiri daripada anggota Perkhidmatan Awam Malaysia.

Ibu Pejabat Suruhanjaya terletak di Bangunan Sultan Abdul Samad, Jalan Clark, Kuala Lumpur. sejak penubuhannya pada tahun 1957 sehingga 1978. Kemudian berpindah ke Bangunan Yayasan Selangor, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur (1978-1985), Bangunan Tong Ah, Jalan P.Ramlee (1985-1988), Menara Bank Pembangunan, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur (1998-2000) dan pada bulan November 2000 Ibu Pejabat Suruhanjaya berpindah ke lokasi sekarang di Putrajaya.

Sila layari Laman Web SPR http://www.spr.gov.my/