Belah Bahagi Daerah Mengundi


1. BIDANG KUASA

Urusan Belah Bahagi Daerah Mengundi adalah diperuntukkan mengikut Seksyen 7, Akta Pilihan Raya, 1958 (Akta 19) yang menjelaskan seperti berikut :
7.(1) Dengan seberapa segera yang boleh selepas sesuatu bahagian pilihan raya dipersempadankan mengikut Perlembagaan, dan selepas daripada itu apabila mana-mana bahagian pilihan raya diubah atau suatu bahagian pilihan raya baru diwujudkan, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah –

a) membahagi setiap bahagian pilihan raya kepada daerah mengundi;

b)menguntukkan kepada setiap daerah mengundi suatu huruf atau huruf-huruf pengenalan atau nombor pengenalan atau kedua-duanya;

c)menetapkan pusat atau pusat-pusat akan ditubuhkan pusat atau pusat-pusat mengundi bagi daerah itu; dan

d)menyiarkan dalam Warta suatu notis yang menentukan –

(i) daerah-daerah mengundi yang mengikutnya bahagian pilihan raya itu telah dibahagi;

(ii) huruf atau huruf-huruf pengenalan atau nombor pengenalan atau kedua-duanya yang
diperuntukkan kepada setiap daerah mengundi; dan

(iii) pusat atau pusat-pusat yang telah ditetapkan untuk penubuhan pusat atau pusat-pusat
mengundi bagi setiap daerah mengundi.

2. DASAR BELAH BAHAGI

2.1 Setiap Daerah Mengundi mempunyai pengundi tidak melebihi 3,850 orang.
Mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya Kali yang Ke-673 yang telah diadakan pada 28 Mac 2006 telah bersetuju dengan cadangan daripada pihak urusetia untuk menaikkan jumlah maksima pengundi dalam sesuatu daerah mengundi daripada 3500 orang kepada 3850 orang.

2.2 Satu Daerah Mengundi mempunyai Satu Pusat Mengundi
Berdasarkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia kali Ke-652 dalam mesyuarat bulanannya pada 29 April 2004 telah menetapkan bahawa setiap daerah mengundi perlu mempunyai sebuah pusat mengundi.


3. TUJUAN BELAH BAHAGI DAN MENGEMASKINIKAN DAERAH-DAERAH MENGUNDI

3.1 Bagi memudahkan penjalanan pilihan raya seperti mengelakkan kesesakan;

3.2 Memudahkan pendaftaran pemilih dan penyemakan daftar-daftar pemilih;

3.3 Memudahkan penentuan tempat atau tempat-tempat membuang undi; dan

3.4 Mendekatkan pemilih dengan pusat mengundi.

4. PRINSIP-PRINSIP MEMBELAH BAHAGI

4.1 Bilangan Pemilih
Suruhanjaya Pilihan Raya bersetuju supaya setiap daerah mengundi mempunyai pemilih tidak melebihi daripada 3,850 orang iaitu jumlah pemilih ideal untuk satu-satu daerah mengundi. Namun demikian, dalam keadaan sebenar, daerah-daerah mengundi ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kawasan Bandar dan Kawasan Luar Bandar.

4.1.1 Kawasan Bandar
Purata bilangan pemilih untuk sesuatu daerah mengundi di kawasan Bandar ialah lebih kurang 2,001 pemilih dan ke atas. Dengan itu juga, satu-satu daerah mengundi di kawasan Bandar mungkin mempunyai pemilih sehingga 10,000 atau pun 15,000 orang pemilih.

4.1.2 Kawasan Luar Bandar
Purata bilangan pemilih untuk sesuatu daerah mengundi di luar Bandar ialah lebih kurang di antara 500 – 2,000 orang pemilih.
4.2 Sempadan Daerah Mengundi
Terbahagi kepada dua takrif sempadan iaitu:

4.2.1 Sempadan ‘Natural’ ( CONTOH )
Sungai, anak sungai, gunung, bukit, gaung, tasik, paya dan sebagainya

4.2.2 Sempadan ‘Artificial’ ( CONTOH )
Jalan raya bertar, jalan tanah merah, lorong kaki, lorong, talian penghantar elektrik dan sebagainya.

4.3 Lokaliti
Merupakan unit terkecil dalam daerah mengundi. Pemecahan sesuatu lokaliti dalam urusan belah bahagi hendaklah dilakukan dengan tujuan untuk mengelakkan kesulitan pada pemilih/pengundi, bagi menentukan di dalam daerah mengundi manakah mereka berada.

4.4 Saiz Daerah Mengundi
Tiada ukuran saiz dalam menentukan keluasan sesuatu daerah mengundi. Pada amnya, saiz daerah mengundi di kawasan bandar adalah lebih kecil daripada di kawasan luar bandar.

4.5 Tempat Mengundi
Semasa urusan belah bahagi daerah mengundi dijalankan, tindakan diambil bagi memastikan sekurang-kurangnya wujud satu tempat mengundi di dalam setiap daerah mengundi.Bagi daerah mengundi yang tidak mempunyai bangunan yang sesuai untuk dijadikan tempat mengundi, bangsal-bangsal sementara boleh didirikan. Walau bagaimanapun, keadaan khas seumpama ini hendaklah dihadkan bilangannya dengan seberapa yang boleh.

4.6 Sempadan Bahagian Pilihan Raya
Urusan belah bahagi daerah-daerah mengundi adalah ditumpukan dan terhad dalam satu-satu Bahagian Pilihan Raya Negeri sahaja. Oleh itu, urusan belah bahagi daerah-daerah mengundi adalah TIDAK BOLEH SAMA SEKALI melampaui sempadan Bahagian Pilihan Raya Negeri apatah lagi parlimen termasuklah urusan untuk tujuan mencantumkan 2 daerah mengundi yang kecil atau sebahagiannya yang terletak di sempadan 2 Bahagian Pilihan Raya yang berlainan.

4.7 Mengkaji Daerah Mengundi Dalam Kawasan Pembangunan
Kajian ke atas kawasan-kawasan pembangunan khususnya perumahan baru perlu dibuat terlebih awal agar sesuatu daerah mengundi itu nanti tidak akan bertambah pemilihnya terlalu ramai dengan tiba-tiba apabila kawasan perumahan yang baru itu mula didiami.

5. JENIS BELAH BAHAGI DAERAH MENGUNDI

5.1 JENIS I ( CONTOH )
Sesuatu daerah mengundi dibelah bahagikan untuk mewujudkan satu atau lebih daerah mengundi baru.

5.2 JENIS II ( CONTOH )
Sesuatu daerah mengundi dicantumkan dengan satu atau lebih daerah mengundi yang lain. Pencantuman ini melibatkan kekurangan daerah mengundi.

5.3 JENIS III ( CONTOH )
Meminda sempadan di antara daerah-daerah mengundi yang bersempadanan yang melibatkan perpindahan lokaliti-lokaliti dan pemilih-pemilih. Jenis ini tidak melibatkan pertambahan daerah mengundi.

5.4 JENIS IV ( CONTOH )
Meminda sempadan daerah mengundi yang tidak melibatkan sebarang perpindahan lokaliti dan pemilih.


5.5 JENIS Va ( CONTOH )
Membetulkan kedudukan lokaliti berdasarkan kedudukan sebenar pemilih.

5.6 JENIS Vb ( CONTOH )
Meminda atau menukar nama dan / atau kod daerah mengundi.